Ladang Rakyat diperluas untuk bantu rakyat miskin

gKota Bharu, 3 Dis (Hrkh) Pengenalan program Pembangunan Ladang Rakyat Negeri Kelantan merupakan hasil daripada kematangan kerajaan negeri dalam mempelopori aspek pengurusan dan pentadbiran tanah.

Kerajaan Pas Kelantan pada tahun 1960-an lagi sudah mendahului kerajaan Pusat dalam aspek pembangunan tanah iaitu dengan menubuhkan Lembaga Kemajuan Tanah Negeri. Melalui Lembaga Kemajuan Tanah Negeri (LKTN) inilah kerajaan negeri pada waktu itu telah membangunkan tanah secara besar-besaran dan melibatkan kawasan seluas 70,170 hektar di seluruh Kelantan.

Konsep pembangunan tanah LKTN adalah memberi penekanan kepada penggunaan tenaga peneroka tempatan sendiri secara maksimum dengan kos perbelanjaan minimum.

Konsep pembangunan tanah yang diperkenalkan Kelantan inilah kemudiannya diikuti oleh Kerajaan Pusat, apabila beberapa tahun LKTN diperkenalkan barulah Felda, Felcra dan Kesedar diperkenalkan dan mula membuka tanah-tanah di negeri Kelantan dan lain-lain negeri.

Walau bagaimanapun rancangan kemajuan tanah LKTN terhenti apabila kerajaan Pas Kelantan tumbang dalam pilihan raya 1978 dan lain-lain rancangan pembangunan tanah Persekutuan terus berjalan dan berkembang.

Namun demikian rakyat Kelantan yang terlibat dengan LKTN mendapat manfaat langsung daripada program itu melalui pemilikan tanah ladang sendiri. Berbeza dengan peneroka–peneroka Felda, Felcra dan Kesedar di mana sehingga hari ini masih belum terlepas dengan belenggu keberhutangan dengan agensi-agensi tersebut.

Satu demi satu skim yang diperkenlkan agensi terbabit terus mengikat peneroka, sehingga membawa kepada agensi berkenaan mencatat keuntungan besar, tetapi rayat (peneroka) hanya mendapat cebisan setelah ditolak hutang daripada agensi berkenaan.

Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Dato’ Haji Nik Abdul Aziz bin Nik Mat sewaktu merasmikan Majlis Pecah Tanah dan Penyampaian Sijil Peserta Berpenempatan Bagi Pemajuan Tanah Ladang Rakyat di Limau Kasturi dan Paloh 4, Gua Musang baru-baru ini menyatakan, program pembangunan Ladang Rakyat merupakan sambungan kepada rancangan pembangunan tanah untuk faedah rakyat yang pernah diperkenalkan kerajaan Pas Kelantan pada masa lampau.

Katanya Ladang Rakyat yang dilancarkan pada Januari 2006 merupakan satu konsep rancangan pembangunan tanah yang sangat unik dan menjadi satu model program mengatasi masalah kemiskinan rakyat bentuk baru.

Tambahnya lagi melalui program pembangunan tanah Ladang Rakyat ini kerajaan negeri memberikan kepada rakyat miskin faedah langsung yang tinggi secara berterusan dalam bentuk dividen bulanan sebanyak RM200 tanpa perlu mengusahakan tanah ladang.

“Sehingga kini seramai 2,974 rakyat miskin dari 45 kawasan DUN di Kelantan telah disenaraikan sebagai peserta Ladang Rakyat dan menerima dividen RM200 sebulan,” katanya.

Dalam tempoh 15 bulan dilancarkan iaitu daripada Jun 2006 hingga September 2007 sebanyak RM6.143 juta telah diagihkan kepada rakyat dalam bentuk dividen tanpa perlu berkerja dalam ladang yang dibangunkan Perbadanan Pembangunan Ladang Rakyat Negeri Kelantan.

Bagi fasal pertama ini pihak Perbadanan Ladang Rakyat sudah menandatangai perjanjian persefahaman (MoU) dengan pihak syarikat swasta dan syarikat kerajaan negeri dalam bentuk kontrak pembangunan tanah ladang seluas 39,000 ekar.

8000 hektar di Lubok Bongor, 5000 hektar di Dabong serta di Renok, Gua Musang, 8000 hektar, Pos Pasik Di Gua Musang, 10,000 hektar, Pos Haw di Gua Musang, 6000 hektar dan Sokor di Tanah Merah 2000 hektar.

Menurut Nik Abdul Aziz yang juga Pengerusi Perbadanan Pembangunan Ladang Rakyat, setelah hampir setahun berjaya melaksanakan program pembangunan Ladang Rakyat dan faedahnya sedang dinikmati peserta dari kalangan rakyat miskin.

Justeru katanya, sudah sampai masanya pada 29 November 2007 program pembangunan Ladang Rakyat memasuki fasal kedua dengan memperkenalkan konsep peserta Ladang Rakyat Berpenempatan.

Melalui fasal ini konsep pengagihan dividen akan diberi nilai tambah, di mana peserta Ladang Rakyat Berpenempatan ini akan menerima pakej empat dalam satu.

Melalui skim ini peserta akan menerima dividen bulanan sebanyak RM200 sebulan. Selain itu peserta turut menerima gaji bagi mengusahakan 10 hektar plot ladang rakyat RM700 sebulan. Peserta turut menerima insentif pengeluaran buah sebanyak RM15 bagi setiap tan apabila ladang mula mengeluarkan hasil.

Peserta turut menerima rumah kediaman tiga bilik (banglo) berharga RM35,000 secara sewa beli tanpa sebarang faedah, dengan tempoh bayaran kos rumah selama 15 tahun selain tanah tapak rumah diberikan percuma.

Dalam pada itu, peserta Ladang Rakyat Berpenempatan ini berada dalam suasana penempatan yang diisi padat dengan kuliah-kuliah agama wajib, menerusi Program Peneguhan Jati Diri Peserta Ladang Rakyat.

Terdahulu, Timbalan Menteri Besar, Dato’ Haji Ahmad Yakob dalam ucapan aluannya pada majlis perasmian tersebut menyatakan program Pembangunan Ladang Rakyat lahir hasil daripada hasrat kerajaan negeri untuk membantu rakyat miskin dan pada masa yang sama dapat mengatasi masalah peneroka haram.

“Idea Ladang Rakyat tercetus apabila kerajaan memikirkan bagaimana untuk membolehkan lebih ramai rakyat terutama golongan miskin mendapat faedah daripada anugerah tanah negeri Kelantan yang subur ini.

“Sedangkan rakyat semakin bertambah dan masa sama tanah yang ada semakin kurang, maka tercetuslah idea Ladang Rakyat di mana berkonsepkan rakyat mendapat manfaat daripada tanah kerajaan dalam bentuk dividen bulanan, tetapi tanah kekal milik kerajaan negeri.” katanya.

Tambah Ahmad lagi, apabila kerja-kerja membersih tapak ladang dan pembinaan teres untuk penanaman selesai serta rumah siap dibina oleh pihak kontraktor pada pertengahan tahun depan, barulah peserta Ladang Rakyat Berpenempatan yang terpilih mula masuk berkerja dan tinggal di ladang.

Jelasnya pada peringkat pertama seramai 172 penduduk Parlimen Gua Musang, iaitu 90 peserta dari Paloh 4, Dun Paloh (60), Dun Neggiri (61) dan Dun Galas (61) telah dipilih oleh pihak Perbadanan Ladang Rakyat untuk menyertai projek ini.

Sementara itu katanya Program Ladang Rakyat Berpenempatan akan dilaksanakan secara berperingkat-peringkat sehingga mencapai sasaran peserta seramai 450 penduduk miskin dengan keluasan ladang yang bakal dibangunkan seluas 4500 hektar.

Menurut Ahmad lagi, setelah berjaya melaksanakan fasal satu dan dua kerajaan negeri ketika ini sedang merangka fasal ketiga program pembangunan tanah bagi faedah dan kebajikan rakyat.

“Kerajaan negeri ketika ini sedang mengkaji secara mendalam program pembangunan tanah fasal seterusnya dan akan mengumumkan kepada rakyat setelah kerajaan negeri benar-benar bersedia melaksanakannya,” jelas beliau yang juga Timbalan Pengerusi Perbadanan Pembangunan Ladang Rakyat Negeri Kelantan.

Pada majlis itu tersebut turut disampaikan sijil kepada peserta Ladang Rakyat Berpenempatan dan sijil tersebut turut mencatatkan kedudukan lot rumah dan ladang yang bakal mereka tinggal dan usahakan.

Hadir sama pada majlis tersebut ialah, Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Ladang Rakyat, Dr Nazmi Ghazali Azmi, anggota-anggota Exco, Dr Nik Mazian Nik Mohamed, Abdul Fattah Mahmood, Adun Perupok, Dato Omar Mohamed dan Adun Temangan, Dato Hasan Muhammad.

Turut serta ialah Penyelia Parlimen Gua Musang, Dr Zulkefli Mohamed, Penyelia Dun Galas, Chek Hashim Sulaiman, Penyelia Dun Paloh, Sanusi Junoh dan Penyelia Neggiri, Reizal Rahim. – mns

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: