KOTA BHARU, 3 Dis (Hrkh) – Sebagai pengorak langkah menuju ke arah Festival Filem Islam Antarabangsa sempena Tahun Melawat Kelantan 2008, buat pertama kalinya, Kerajaan Negeri Kelantan dengan kerjasama Sekolah Animasi Darul Digital, Majlis Perbandaran Kota Bharu Bandaraya Islam (MPKB-BRI), Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan (Jaheaik) dan Perbadanan Menteri Besar Kelantan akan mengadakan Mini Fest Kelantan 2007 pada 4 dan 5 Disember ini.Perkara tersebut diumumkan Pengerusi Jawantankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan yang juga Timbalan Pengerusi Mini Fest Kelantan 2007, Dato’ Takiyuddin Hassan yang mewakili Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Pendidikan, Sains dan Teknologi, Ustaz Mohamad Amar Abdullah merangkap Pengerusi program, dalam sidang media yang diadakan di Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri, Kota Darul Naim , hari ini. Selain itu, Mini Fest Kelantan 2007 dianjurkan sempena lawatan pengarah filem Iran yang terkemuka, yang mendapat pengiktirafan meluas seluruh dunia, Majid Majidi ke Kota Bharu.
Dalam kunjungan beliau ke negeri ini, beliau akan mengadakan lawatan ke Sekolah Animasi Darul Digital serta mengadakan pertemuan dengan Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat.
Papan tanda gergasi di Kota Bharu
Sempena Mini Fest 2007, tiga buah filem terbaik arahan Majid Majidi yang mendapat pengiktirafan seluruh dunia akan diadakan bertempat di Dewan Besar Balai Islam, Lundang, Kota Bharu.
Pada 4 Disember, dua filem akan ditayangkan iaitu filem ‘Baran’ pada jam 3.00 petang dan filem ‘The Colours of Paradise’ pada jam 8.45 malam.
Ditanya rasional pemilihan filem dari Iran untuk tayangan Mini Fest Kelantan 2007 ini, jelas Takiyuddin, filem-filem tersebut menepati ciri-ciri yang ditetapkan oleh Kerajaan Negeri Kelantan iaitu bertemakan keislaman, berkualiti serta membawa mesej yang baik seperti kemanusian, perpaduan dan memaparkan keagungan Allah.
Sementara itu pada malam kemuncak iaitu 5 Disember, filem yang melonjak nama Majid Majidi di persada filem dunia dan memenangi anugerah filem terbaik di Montreal International Film Festival , ‘Children of Heaven’ akan ditayangkan.
Beliau akan turut serta di majlis tayangan tersebut dan menyampaikan ucaptama sebelum tayang bermula. Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat juga dijangka hadir dan menyampaikan ucapan bagi pihak Kerajaan Negeri Kelantan.
Semua tayangan terbuka kepada orang ramai secara percuma.
Selain tayangan filem, sessi dialog khusus untuk penggiat seni, agensi-agensi kerajaan serta penuntut Institusi Pengajian Tinggi(IPT) bertajuk ‘Sinema Majid Majidi: Moral dan Kemanusian akan diadakan pada jam 9.30 pagi, 4 Disember, bertempat di Bilik Gerakan Negeri, Kompleks SUK, Kota Darul Naim.
Ahli panel bagi sessi dialog ini ialah pengarah filem terkemuka, Mamat Khalid serta pengarah filem dan juga ahli akademik, Dr Hatta Azad Khan. Seorang artis wanita tanah air juga dijangka akan menjadi ahli panel dalam sessi dialog ini.
Majid Majidi juga akan muncul dalam forum yang bertajuk “Produksi Filem dan Sinema Islam, di tempat yang sama pada jam 2.30 petang, 5 Disember.
Sementara itu Takiyuddin dalam sidang akhbar tersebut menaruh harapan yang tinggi Mini Fest Kelantan 2007 ini mendapat sambutan semua lapisan masyarakat. Dan sekiranya mendapat sambutan ramai, program seumpama itu akan dilanjutkan lagi pada masa akan datang.
Filem ‘Baran’ mengisahkan tentang persaudaraan yang melibatkan mangsa peperangan di Afghanistan serta pelarian yang lari dari Pakistan ke Iran dan melalui kisah hidup yang tragis.
Manakala ‘Colours of Paradise’, sebuah kisah yang menyentuh perasaan mengenai kisah kanak-kanak yang berusia 8 tahun yang membawa kita mencari cahaya ciptaan Ilahi. Filem ini telah dipilih oleh majalah Times sebagai salah satu daripada 10 filem terbaik tahun 2000.
‘Children of Heaven’ pula mengisahkan kecuaian seorang abang bernama Ali telah menyebabkan kasut adiknya, Zohre hilang. Kerana takut dihukum oleh ayahnya dan bimbang ayahnya terpaksa meminjam duit untuk membeli kasut baru, mereka merahsiakan perkara tersebut. Ali merancang untuk mendapatkan kasut ganti bagi adiknya. Dan sebelum mendapat kasut baru, mereka terpaksa berkongsi kasut untuk ke sekolah. – mr
Filed under: Kelantan |
Tinggalkan Jawapan