• TEKAD KAMI

  • AHLAN WA SAHLAN

    Terima kasih kerana mengunjungi laman rasmi PAS DUN Demit. Segala komen dan cadangan yang membina amatlah dialu-alukan. Semoga dengan lahirnya laman wordpress ini memberi manafaat untuk semua khasnya buat warga DUN Demit, Kubang Kerian.
  • STATISTIK PENGUNJUNG

    • 13,499 hits
  • Media Alternatif

Ladang Rakyat diperluas untuk bantu rakyat miskin

gKota Bharu, 3 Dis (Hrkh) Pengenalan program Pembangunan Ladang Rakyat Negeri Kelantan merupakan hasil daripada kematangan kerajaan negeri dalam mempelopori aspek pengurusan dan pentadbiran tanah.

Kerajaan Pas Kelantan pada tahun 1960-an lagi sudah mendahului kerajaan Pusat dalam aspek pembangunan tanah iaitu dengan menubuhkan Lembaga Kemajuan Tanah Negeri. Melalui Lembaga Kemajuan Tanah Negeri (LKTN) inilah kerajaan negeri pada waktu itu telah membangunkan tanah secara besar-besaran dan melibatkan kawasan seluas 70,170 hektar di seluruh Kelantan.

Konsep pembangunan tanah LKTN adalah memberi penekanan kepada penggunaan tenaga peneroka tempatan sendiri secara maksimum dengan kos perbelanjaan minimum.

Konsep pembangunan tanah yang diperkenalkan Kelantan inilah kemudiannya diikuti oleh Kerajaan Pusat, apabila beberapa tahun LKTN diperkenalkan barulah Felda, Felcra dan Kesedar diperkenalkan dan mula membuka tanah-tanah di negeri Kelantan dan lain-lain negeri.

Walau bagaimanapun rancangan kemajuan tanah LKTN terhenti apabila kerajaan Pas Kelantan tumbang dalam pilihan raya 1978 dan lain-lain rancangan pembangunan tanah Persekutuan terus berjalan dan berkembang.

Namun demikian rakyat Kelantan yang terlibat dengan LKTN mendapat manfaat langsung daripada program itu melalui pemilikan tanah ladang sendiri. Berbeza dengan peneroka–peneroka Felda, Felcra dan Kesedar di mana sehingga hari ini masih belum terlepas dengan belenggu keberhutangan dengan agensi-agensi tersebut.

Satu demi satu skim yang diperkenlkan agensi terbabit terus mengikat peneroka, sehingga membawa kepada agensi berkenaan mencatat keuntungan besar, tetapi rayat (peneroka) hanya mendapat cebisan setelah ditolak hutang daripada agensi berkenaan.

Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Dato’ Haji Nik Abdul Aziz bin Nik Mat sewaktu merasmikan Majlis Pecah Tanah dan Penyampaian Sijil Peserta Berpenempatan Bagi Pemajuan Tanah Ladang Rakyat di Limau Kasturi dan Paloh 4, Gua Musang baru-baru ini menyatakan, program pembangunan Ladang Rakyat merupakan sambungan kepada rancangan pembangunan tanah untuk faedah rakyat yang pernah diperkenalkan kerajaan Pas Kelantan pada masa lampau.

Katanya Ladang Rakyat yang dilancarkan pada Januari 2006 merupakan satu konsep rancangan pembangunan tanah yang sangat unik dan menjadi satu model program mengatasi masalah kemiskinan rakyat bentuk baru.

Tambahnya lagi melalui program pembangunan tanah Ladang Rakyat ini kerajaan negeri memberikan kepada rakyat miskin faedah langsung yang tinggi secara berterusan dalam bentuk dividen bulanan sebanyak RM200 tanpa perlu mengusahakan tanah ladang.

“Sehingga kini seramai 2,974 rakyat miskin dari 45 kawasan DUN di Kelantan telah disenaraikan sebagai peserta Ladang Rakyat dan menerima dividen RM200 sebulan,” katanya.

Dalam tempoh 15 bulan dilancarkan iaitu daripada Jun 2006 hingga September 2007 sebanyak RM6.143 juta telah diagihkan kepada rakyat dalam bentuk dividen tanpa perlu berkerja dalam ladang yang dibangunkan Perbadanan Pembangunan Ladang Rakyat Negeri Kelantan.

Bagi fasal pertama ini pihak Perbadanan Ladang Rakyat sudah menandatangai perjanjian persefahaman (MoU) dengan pihak syarikat swasta dan syarikat kerajaan negeri dalam bentuk kontrak pembangunan tanah ladang seluas 39,000 ekar.

8000 hektar di Lubok Bongor, 5000 hektar di Dabong serta di Renok, Gua Musang, 8000 hektar, Pos Pasik Di Gua Musang, 10,000 hektar, Pos Haw di Gua Musang, 6000 hektar dan Sokor di Tanah Merah 2000 hektar.

Menurut Nik Abdul Aziz yang juga Pengerusi Perbadanan Pembangunan Ladang Rakyat, setelah hampir setahun berjaya melaksanakan program pembangunan Ladang Rakyat dan faedahnya sedang dinikmati peserta dari kalangan rakyat miskin.

Justeru katanya, sudah sampai masanya pada 29 November 2007 program pembangunan Ladang Rakyat memasuki fasal kedua dengan memperkenalkan konsep peserta Ladang Rakyat Berpenempatan.

Melalui fasal ini konsep pengagihan dividen akan diberi nilai tambah, di mana peserta Ladang Rakyat Berpenempatan ini akan menerima pakej empat dalam satu.

Melalui skim ini peserta akan menerima dividen bulanan sebanyak RM200 sebulan. Selain itu peserta turut menerima gaji bagi mengusahakan 10 hektar plot ladang rakyat RM700 sebulan. Peserta turut menerima insentif pengeluaran buah sebanyak RM15 bagi setiap tan apabila ladang mula mengeluarkan hasil.

Peserta turut menerima rumah kediaman tiga bilik (banglo) berharga RM35,000 secara sewa beli tanpa sebarang faedah, dengan tempoh bayaran kos rumah selama 15 tahun selain tanah tapak rumah diberikan percuma.

Dalam pada itu, peserta Ladang Rakyat Berpenempatan ini berada dalam suasana penempatan yang diisi padat dengan kuliah-kuliah agama wajib, menerusi Program Peneguhan Jati Diri Peserta Ladang Rakyat.

Terdahulu, Timbalan Menteri Besar, Dato’ Haji Ahmad Yakob dalam ucapan aluannya pada majlis perasmian tersebut menyatakan program Pembangunan Ladang Rakyat lahir hasil daripada hasrat kerajaan negeri untuk membantu rakyat miskin dan pada masa yang sama dapat mengatasi masalah peneroka haram.

“Idea Ladang Rakyat tercetus apabila kerajaan memikirkan bagaimana untuk membolehkan lebih ramai rakyat terutama golongan miskin mendapat faedah daripada anugerah tanah negeri Kelantan yang subur ini.

“Sedangkan rakyat semakin bertambah dan masa sama tanah yang ada semakin kurang, maka tercetuslah idea Ladang Rakyat di mana berkonsepkan rakyat mendapat manfaat daripada tanah kerajaan dalam bentuk dividen bulanan, tetapi tanah kekal milik kerajaan negeri.” katanya.

Tambah Ahmad lagi, apabila kerja-kerja membersih tapak ladang dan pembinaan teres untuk penanaman selesai serta rumah siap dibina oleh pihak kontraktor pada pertengahan tahun depan, barulah peserta Ladang Rakyat Berpenempatan yang terpilih mula masuk berkerja dan tinggal di ladang.

Jelasnya pada peringkat pertama seramai 172 penduduk Parlimen Gua Musang, iaitu 90 peserta dari Paloh 4, Dun Paloh (60), Dun Neggiri (61) dan Dun Galas (61) telah dipilih oleh pihak Perbadanan Ladang Rakyat untuk menyertai projek ini.

Sementara itu katanya Program Ladang Rakyat Berpenempatan akan dilaksanakan secara berperingkat-peringkat sehingga mencapai sasaran peserta seramai 450 penduduk miskin dengan keluasan ladang yang bakal dibangunkan seluas 4500 hektar.

Menurut Ahmad lagi, setelah berjaya melaksanakan fasal satu dan dua kerajaan negeri ketika ini sedang merangka fasal ketiga program pembangunan tanah bagi faedah dan kebajikan rakyat.

“Kerajaan negeri ketika ini sedang mengkaji secara mendalam program pembangunan tanah fasal seterusnya dan akan mengumumkan kepada rakyat setelah kerajaan negeri benar-benar bersedia melaksanakannya,” jelas beliau yang juga Timbalan Pengerusi Perbadanan Pembangunan Ladang Rakyat Negeri Kelantan.

Pada majlis itu tersebut turut disampaikan sijil kepada peserta Ladang Rakyat Berpenempatan dan sijil tersebut turut mencatatkan kedudukan lot rumah dan ladang yang bakal mereka tinggal dan usahakan.

Hadir sama pada majlis tersebut ialah, Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Ladang Rakyat, Dr Nazmi Ghazali Azmi, anggota-anggota Exco, Dr Nik Mazian Nik Mohamed, Abdul Fattah Mahmood, Adun Perupok, Dato Omar Mohamed dan Adun Temangan, Dato Hasan Muhammad.

Turut serta ialah Penyelia Parlimen Gua Musang, Dr Zulkefli Mohamed, Penyelia Dun Galas, Chek Hashim Sulaiman, Penyelia Dun Paloh, Sanusi Junoh dan Penyelia Neggiri, Reizal Rahim. – mns

BPR Diberi 25 Jam Sehari Untuk Siasat Kerajaan Kelantan – MB Kelantan


KOTA BHARU, 29 Nov
– Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat sewaktu diminta mengulas dakwaan berlaku penyelewengan dalam kerajaan negeri, menegaskan kerajaan negeri Kelantan bersedia untuk sebarang siasatan oleh Badan Pencegah Rasuah (BPR) berhubung dakwaan tersebut.Jelas beliau, kerajaan negeri menjanjikan kerjasama sewajarnya kepada BPR dalam menyiasat sebarang perkara yang berlaku di negeri ini.

Beliau berkata demikian kepada wartawan sewaktu ditemui pada majlis perasmian cawangan Bank Al-Rajhi di sini semalam.

Nik Abdul Aziz juga mengulangi kata-katanya sebelum ini bahawa beliau memberi peluang 25 jam sehari kepada BPR untuk menyiasat kerajaan negeri.

“Ia juga sebagai cara mengingatkan pegawai-pegawai kerajaan negeri supaya lebih berhati-hati,”katanya.

Tambahnya lagi, langkah BPR menyiasat kerajaan negeri adalah sesuatu yang baik dan memberi kesan positif.

Pada 27 November lalu, dua Ahli Dewan Undangan Negeri Barisan Nasional, Dato’ Nozula Mat Diah (Adun Paloh) dan Mohd Adhan Kechik (Adun Bukit Bunga) menyerahkan kepada pihak BPR mengenai lapan perkara yang dianggap sebagai “Laporan kes-kes penyelewengan terancang oleh kerajaan negeri Kelantan.”

Penyerahan tersebut dilakukan sebaik sehaja mereka mengadakan sidang media setelah tidak berpuas hati dengan usul pengantungan enam bulan yang diputuskan dalam Dewan Undangan Negeri Kelantan.

Kedua-dua mereka mendakwa saluran BPR terpaksa digunakan kerana mereka dinafikan hak untuk bersuara dan beberapa isu yang ingin dibangkitkan untuk dijelaskan kerajaan negeri tidak dapat disampaikan di dalam persidangan Dun. – mks.

Bajet Rakyat 2008: Penjanaan ekonomi pelbagai lapisan rakyat


FULL: Pembentangan Belanjawan 2008 “bajet rakyat” oleh

Tuan Guru Dato’ Hj Nik Abdul Aziz Nik Mat

Kota Bharu, 25 Nov (Hrkh) – “Bajet rakyat” yang menjadi tema Bajet 2008 Bagi Tempoh Penggal Yang Ke Empat Dewan Undangan Negeri Kelantan Yang ke Sebelas yang dibentangkan hari ini memberi fokus kepada penjanaan ekonomi pelbagai lapisan rakyat, pembinaan insan berteraskan Islam, pembinaan perumahan mampu milik serta pembelaan golongan dhaif dan miskin, orang kurang upaya, anak yatim, armalah dan warga emas.

Bejet tersebut dibentangkan Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat di Dewan Undangan Negeri Kelantan hari ini pada jam 11 pagi tadi.

Selaras dengan aspirasi rakyat, Bajet Negeri Kelantan 2008 menggariskan beberapa strategi. Antara strategi tersebut ialah memantapkan pendekatan pembangunan yang menyeluruh dan seimbang di antara pembangunan fizikal dan rohani untuk pelbagai lapisan rakyat serta mempertahan dan memacukan pertumbuhan ekonomi negeri yang stabil serta berdaya maju dengan tumpuan kepada program-program bagi kesejahteraan dan kemakmuran rakyat.

Bajet tersebut juga meneruskan dasar berjimat cermat dengan mengamalkan perbelanjaan berhemah serta mengembelingkan usaha untuk meningkatkan hasil negeri melalui pemantapan jentera kutipan hasil dan penguatkuasaan.

Selain itu, strategi yang digariskan ialah memantapkan urus tadbir yang baik dengan mengutamakan ketelusan dan kecekapan menerusi pentadbiran yang berlandaskan `Ubudiyyah, Mas’ulliyyah dan Itqan.

Di samping itu, prestasi industri kecil dan sederhana serta peluang-peluang baru dalam sektor pertanian akan ditingkatkan menerusi pelbagai teknik pemodenan.

Jelas Nik Abdul Aziz, belanjawan kali ini adalah penerusan kepada cita-cita dan komitmen kerajaan negeri yang telah dibentuk sejak 17 tahun lalu. Bahkan bajet yang bertemakan bajet rakyat, berhasrat untuk membawa negeri dan rakyat ke satu tahap pembangunan sosio-ekonomi dan pembangunan insan seimbang selaras dengan semangat “Membangun Bersama Islam”.

Beliau memulakan pembentangan dengan mengimbas kembali kata-kata yang pernah diucapkan beliau dalam persidangan Dun pada tahun 1991 yang mana Parlimen dan Dewan Undangan Negeri merupakan tempat untuk memproses pemikiran bagi tujuan mencari jalan, menyediakan perancangan bajet dan tatacara pelaksanaan berasaskan undang-undang yang dicipta Allah.

“Selaku Ahli-Ahli Dewan Undangan Negeri, marilah kita satukan pembaharuan azam dan tekad untuk memberi khidmat yang terbaik bagi memenuhi harapan dan amanah rakyat.

“Marilah sama-sama kita berbincang dan berbahas dalam Dewan yang mulia ini dengan penuh adab susila serta memberi cadangan-cadangan yang bernas dan konstruktif bagi memajukan negeri kita yang tercinta ini demi kesejahteraan dan kemakmuran rakyatnya,” katanya.

Beliau juga merakamkan ucapan terima kasih dengan pelancaran Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER) pada 29 Oktober 2007 dan diharap akan meletakkan satu pancang utama ke arah pembaharuan semangat kerjasama berkonsepkan federalisme.

Dalam ucapan pendahuluannya juga beliau turut menaruh kepercayaan ekonomi negeri Kelantan pada tahun 2008 dijangka kekal selesa walaupun pertumbuhan global dijangka agak sederhana berikutan kesan kenaikan harga minyak, ketegangan geopolitik dan meningkatnya inflasi yang dijangka terus berada di paras sederhana tinggi.

Selain itu katanya, ekonomi negeri Kelantan yang didokong oleh sektor pembuatan dan perkhidmatan dijangka mampu untuk merangsang pertumbuhan ekonomi negeri di samping perkembangan positif dalam pelbagai aktiviti pertanian termasuk akuakultur, hortikultur dan ternakan yang dijangka akan mampu meningkatkan pertumbuhan dalam sektor pertanian. – mns

ADUN PAS Sokong BERSIH

 

 

Kerajaan Kelantan menunjukan sokongan padu terhadap usaha Gabungan Pilihanraya Adil & Bersih ) BERSIH untuk menuntut Pilihanraya Adil & Bersih. Kerajaan Kelantan mengambil satu inisiatif sebagai tindakan menyokong usaha BERSIH dengan semua ADUN -PAS di Kelantan memakai baju berwarna kuning pada Sidang DUN yang lepas. Teruskan usaha BERSIH, kami sentiasa BERSAMAMU. (ADUN Demit, dibelakang YB Dato Takiyuddin Hassan.)

Antara tuntutan BERSIH ialah:

  1. Mendesak kerajaan membersihkan daftar pemilih dalam Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR)
  2. Menghapuskan undi pos
  3. Penggunaan dakwat khas kepada pengundi
  4. Akses & laporan adil dari pihak media.

Laporan oleh Al-Jazeera, Stesyen TV Antarabangsa mengenaiHimpunan 100,000 pada 10 November 2007 lepas.

(ALIH BAHASA) LAWAK PALING LUCU DIABAD INI:

Temubual Stesyen TV Al-Jazeera dengan Zainuddin Mydin, Menteri Penerangan taraf budak tadika & perlu dipecat dengan segera. Memalukan negara!

Temubual stesyen TV Al-Jazeera dengan Dato’ Seri Anuar Ibrahim.

Media BN kata 4,000 orang sahaja yang hadir, Najib kata 10,000 orang sahaja yang hadir. Tapi yang pasti media BN menipu rakyat. Anda lihatlah klip video diatas dan fikir-fikirkan. Rakyat tidak mahu pemimpin yang penipu! Pak Lah kata “jangan cabar saya” egonya seorang Perdana Menteri. Akhirnya diatas sebab sifat bongkak beliau, kesudahanya Pak Lah ditundukkan dan dimalukan oleh KUASA RAKYAT yang mahukan perubahan dalam sistem Pilihanraya di Malaysia.

UNDI ANDA PENENTU MASADEPAN NEGARA, BUATLAH KEPUTUSAN TERBAIK & UNDILAH BARISAN ALTERNATIF & SAMA-SAMA KITA MEMPERTAHANKAN KEMPIMPINAN ISLAM DI KELANTAN.

KRONOLOGI KES ADUN BN BIADAP!

KRONOLOGI

ADUN BN-Paloh digantung dari Dewan kerana bersikap biadap dan tidak menghormati Speaker & Dewan yang mulia. Lihat video diatas yang menceritakan kebiadapan ADUN BN sebelum mereka bertindak keluar dewan. Disebabkan rasa tidak puas hati kerana digantung dari Dewan, ADUN Paloh menjadi tidak rasional dan ingin memberontak dalam Dewan, sila lihat video.

ADUN BIADAP

Persidangan kali ketiga (Belanjawan) bagi tempoh penggal ke empat Dewan Undangan Negeri Kelantan mencatat sejarah terburuk apabila Dato’ Nozula Mat Diah(BN-Paloh) menimbulkan ketegangan lagi apabila bertindak menendang Mohd Zaki Ibrahim(PAS- Kelaboran) sewaktu sesi soal jawab dalam sidang DUN semalam. Kejadian memalukan itu berjaya dirakamkan selama hampir dua minit dan aksi biadapnya boleh ditonton oleh semua pihak di laman web yang sentiasa menyiarkan perkembangan secara langsung Sidang Dun Kelantan.

Insiden bermula apabila Dato’ Mohd Zain Ismail (BN-Bukit Tuku) tidak berpuas hati dengan jawapan yang diberikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Perdagangan, Perindustrian dan Sumber Manusia , YB Zulkifli Mamat terhadap soalan yang dikemukakannya mengenai perkembangan projek Afta City Rantau Panjang bahawa projek tersebut telah dibatalkan.

“Permasalahan sekarang ialah kerajaan ingin memperbetulkan kenyataan bahawa ada exco yang hadir dalam perasmian tersebut. Kita ingin memperbetulkan kenyataan yang menyebabkan tuduhan daripada pihak YB”

“Kita tidak mahu YB yang dipilih, kutip bawa cerita tepi jalan dan bawa naik ke dewan. Adakah hendak perbetulkan ini pun salah”

Kata-kata YB Zulkifli itu menimbulkan kemarahan Nozula yang bangun dan menyifatkan jawapan Zulkifli itu sebagai ‘tidak cerdik’ dan menganggap pihak kerajaan negeri menuduh pihak pembangkang bodoh dan tidak mempedulikan teguran speaker supaya beliau duduk. Keadaan menjadi semakin tegang apabila Nozula mengambil serius kata-kata usikan daripada Zaki Ibrahim yang menimbulkan kemarahannya.

“Bagi peluang aku keccek lepas ni,”kata Nozula dengan nada yang keras.

Kata-kata Zaki supaya Adun Paloh itu meminta maaf kepada dewan dan meyatakan beliau bersikap kurang ajar menyebabkan Nozula bertindak diluar jangkaan.

“Mu yang kurang ajar,” katanya sambil bertindak menyerang Zaki.

Tindakan Nozula itu cuba dihalang oleh beberapa Adun termasuk Saufi Deraman(BN-Galas) dan Abdul Halim Abdul Rahman(PAS- Chetok) yang berada bersebelahan Zaki. Walaupun dihalang Nozula sempat melepaskan tendangan terhadap Zaki. Suasana dewan menjadi sedikit kecoh dan terpaksa ditenangkan oleh Speaker. Sebelum ini, pada persidangan Dun 21 November, Nozula digantung sementara daripada menyertai persidangan pada hari tersebut yang mana Speaker menggunakan peraturan 51(3) bagi menggantung anggota Dewan Negeri yang enggan mematuhi arahan dan melakukan tindakan melampau-lampau semasa permesyuaratan berlangsung.

LAPORAN

Disebabkan tiada perasaan malu dan sikitpun rasa tidak rasa bersalah, mereka mengambil kesempatan melakukan satu lagi perkara bodoh, iaitu melaporkan bahawa Kerajaan Negeri Kelantan melakukan rasuah dan melapurkan kepada Badan Pencegah Rasuah (BPR) –

Tahukah anda apa yang dilaporkan? salah satu daripadanya ialah ke LOJING. Dan tahukah anda siapakah dalang yang meluluskan supaya Lojing digondolkan dan bukit-bukit diratakan? orangnya tidak lain dan tidak bukan, mereka ialah Barisan Nasional sendiri, iaitu semua tander-tander dan kelulusan ialah sewaktu sebelum 1990 -iaitu sewaktu PAS memerintah Kelantan. Dan 8 syarikat yang akan didakwa oleh Jabatan Alam Sekitar ialah KADA yang dipengerusikan sendiri oleh Anuar Musa, selaku Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan. Sebab itulah sampai sekarang JAS masih belum mendakwa mana-mana syarikat terlibat.

Inilah BN, sememangnya samseng, kaki tipu, makan rasuah.

Disebabkan tidakkan samseng 2 orang ADUN BN, Dewan Pemuda PAS Kelantan mengambil inisiatif membuat laporan polis untuk menyiasat dan mendakwa mereka yang terlibat.

Image

Laporan dibuat di balai polis daerah Kota Bharu oleh Naib Ketua Pemuda DPPNK, Ustaz Abdul Latif Abdul Rahman. Dalam kenyataan akhbarnya, DPPNK kesal diatas tindakan Adun Paloh kerana bertindak mengikut emosi dan tidak mematuhi peraturan dewan. Sila rujuk berita penuh: Pemuda PAS Kelantan buat laporan polis terhadap Norzula

Sama-sama kita nilai & fikir-fikirkan, inilah perangai ‘tok wakil’ UMNO, sememangnya kurang ajar, biadap & tidak bermoral. UNDI anda penentu segala-galanya, buatlah pilihan yang bijak, Undilah Barisan Alternatif (BA)

Majlis Khatan Perdana DUN Demit 2007 -Mendapat Sambutan Hangat!!

26 & 27 November 2007, Binjai, Kota Bharu. Buat kesekian kalinya program Majlis Khatan Perdana 2007 diadakan lagi pada tahun ini. Program kebajikan dan kesihatan DUN Demit ini diadakan saban tahun apabila menjelang cuti sekolah bagi memberi ruang kepada adik-adik yang masih belum berkhatan untuk menunaikan kewajibpan agama.Ia bertujuan bagi memberikan kesedaran kepada kanak-kanak tentang kepentingan berkatan dan kesihatan disamping mengikut tuntutan ajaran Islam yang syumul.

Program berkhatan secara percuma dirasmikan oleh YBrs Cikgu Mohd Nuri Yaakub, Ketua Pemuda PAS Kawasan Kubang Kerian bagi mengantikan YB Ustaz Dato Mohamad Bin Daud Al-Iraqi yang tidak dapat hadir kerana terlibat dalam Sidang DUN: Pembentangan Bajet Rakyat 2008 di Kota Darulnaim. Beliau menyampaikan salam beliau kepada semua hadirin yang hadir.

Pada kali ini ia diadakan di SMU (Arab) Yunusiah, Binjai membabitkan seramai 150 orang peserta dari seluruh kampung di sekitar DUN Demit dan membabitkan sebanyak RM 10,000 bagi kos keseluruhan program.

Program ini mendapat sambutan hangat dari seluruh rakyat di DUN Demit. Rata-rata peserta dan ibubapa yang hadir cukup gembira dan berpuas hati dengan aktiviti yang diadakan pada kali ini dan mereka mencadangkan agar diadakan untuk tahun-tahun ke seterusnya dengan jumlah peserta yang lebih besar.

InsyaAllah pada tahun depan akan diadakan lagi dan lebih besar, kata salah seorang AJK MTD. Terima kasih kepada semua AJK MTD, Penghulu, Muslimat, Pemuda, Nisa dan seluruh anggota yang menjayakan program ini.

Berita bergambar:

Khusyuk dikalangan 150 orang peserta yang terlibat mendengar ucapan perasmian

Penuh satu dewan!! sambutan yang luar jangka dari masyarakat DUN Demit

AJK Pemuda sibuk membantu MTD menjayakan majlis ini

Kasih seorang ayah, Cikgu Nuri menyuapkan pulut kuning kepada 15o orang peserta yang hadir

Kerjasama mantap di semua peringkat jentera MTD, kelihatan AJK Dewan Muslimat DUN & penghulu berkerjasama bagi memastikan majlis berjalan lancar.

No Fear!! semua peserta seronok dan gembira mengikuti majlis ini.

 

Muslimat & Pemuda DUN Demit Cakno Rakyat

15 November 2007, Binjai, Kota Bharu. Muslimat dan pemuda DUN Demit sekali lagi mengadakan program lawatan muhibah ke rumah-rumah rakyat disekitar DUN Demit bagi menyampaikan sumbangan kebajikan, mengadakan majlis tahlil dan mengumpulkan maklumat-maklumat daripada rakyat yang memerlukan bantuan.

Progran anjuran Unit Kemasyarakatan MTD Demit yang diketuai oleh Puan Hajah Ramlah Bt Abdullah (Kak Lah) melibatkan 43 orang terlibat yang terdiri dari 35 orang muslimat dan 8 orang wakil pemuda. Program ini bertujuan untuk:

# Merapatkan hubungan ukhwah diantara MTD dan rakyat setempat.

# Mengenalpasti & berkongsi masalah rakat di sekitar DUN Demit

# Membantu & menghulurkan bantuan segera kepada mereka yang memerlukan.

Antara laporan am dan gambar-gambar yang ingin dikongsi bersama ialah:

RUMAH 1

Maklumat Am

Husin bin Awang

Berumur 82 tahun

Kematian isteri dan uzur

Komen beliau:

“Tidak pernah ada aktiviti sebergini sebelum ini dirumah saya, ia satu program yang menarik dan saya betul-betul berterima kasih kepada semua..”

RUMAH 2

Maklumat Am

Hajah Che Limah Che Daud

Berumur 80 tahun

Uzur sejak 3 tahun lepas – strok

Komen beliau:

“Amat berpuas hari dan teramat terharu diatas lawatan muhibah yang dianjurkan oleh muslimat dan pemuda DUN.”

RUMAH 3

Siti Aminah Tahir

Suami uzur sejak 10 tahun lepas

berumur 82 tahun

Anak 9 orang

Komen beliau:

“Amat terharu & berpuas hati dengan lawatan sebergini..”

RUMAH 4

Maklumat Am

Rumah Tuan Yusoff Tuan Deraman & isteri Tuan Mariam Tuan Abdulrahman

Kedua-dua berumur 74 tahun

Anak 5 orang

Suami uzur sejak 13 tahun lepas.

Komen beliau:

“Berasa cukup-cukup puas hati dan gembira… terima kasih banyak-banyak..”

Pengenalan & Salam Pilihanraya Umum Kali Ke 12

PENGENALAN

Alhamdulilah syukur kita kehadrat Allah kerana kejayaan Team IT Majlis Tindakan DUN Demit dengan kerjasama Pemuda PAS DUN Demit kerana dapat mewujudkan satu blog khas bagi berhadapan dengan Pilihanraya Umum kali Ke 12 nanti, iaitu dengan memperkenalkan blog http://www.pasdundemit.wordpress.com.

Dalam keadaan tiadanya ‘padang rata’ dalam PRU, kebebasan media disekat dan berat sebelah serta adanya ancaman dari ‘hacker’ murahan yang ditaja oleh UMNO, maka MTD DUN Demit memilih wordpress sebagai medium saluran utama bagi menyalurkan informasi kepada rakyat di DUN Demit khususnya dan Kelantan amnya.

Laman web ini adalah bertujuan untuk;

  • Sebagai platform alternatif rakyat Demit khususnya dan Kelantan amnya bagi menyatakan cadangan, pendapat, komen dan sebagainya demi kebaikan rakyat keseluruhannya.
  • Menerangkan segala aktiviti-aktiviti yang diperingkat MTD lakukan kepada rakyat.
  • Sebagai satu medium alternatif untuk memberikan penerangan terhadap isu-isu semasa samada di peringkat DUN, Negeri mahupun peringkat Negara

Semoga dengan adanya laman blog ini, dapatlah MTD DUN Demit membuka ruang seluas-luasnya bagi rakyat Demit untuk memberikan cadangan dan pandangan demi kepentingan bersama dalam memajukan negeri Kelantan dan mengembangkan syariat Islam di Kelantan khususnya dan di Malaysia amnya. Usaha ini juga sejajar dengan matlamat PAS Kelantan yang ingin membina masyarakat yang bertaqwa dan bermaklumat.

Sekian, terima kasih. Wassalam.

** MEMBANGUN BERSAMA ISLAM **

Moderator

Laman Blog MTD DUN Demit